Pengikut

Rabu, 14 Disember 2011

Pengenalan Kelas Rancangan Khas

PENGENALAN

Kelas Rancangan Khas adalah salah satu daripada program Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelajar KRK adalah pelajar cemerlang yang mendapat 5A atau 4A dalam peperiksaan UPSR dan tidak mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh. SMK Palong Sebelas (F) merupakan salah satu dari empat sekolah di Daerah Jempol yang ditawarkan program ini.

SMK Palong Sebelas (f), Gemas telah melaksanakan Program Kelas Rancangan Khas mulai tahun 2004. Kemasukan pelajar KRK adalah di bawah kelolaan Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu. Kelas Rancangan Khas SMK Palong Sebelas (f) terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 1 hingga 5 dengan jumlah pelajarnya seramai 93 orang. Murid-murid yang ditawarkan ke Kelas Rancangan Khas terdiri daripada murid cemerlang berdasarkan keputusan UPSR setiap tahun. Mereka perlu bersekolah di Sekolah Kebangsaan dalam Negeri Sembilan, mempunyai sahsiah cemerlang dan aktif kokurikulum. Keutamaan diberi kepada murid dari luar bandar.

SMK Palong Sebelas (f) yang terlibat dengan program ini mempunyai Jawatankuasa Kelas Rancangan Khas peringkat sekolah yang dipengerusikan oleh Pengetua. Jawatankuasa ini bertujuan untuk merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti peningkatan akademik, sahsiah, kokurikulum dan kepimpinan murid.

RASIONAL

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi menempatkan murid-murid cemerlang. Murid bumiputera luar bandar diberi keutamaan bertujuan merapatkan jurang antara penduduk bandar dengan penduduk luar bandar dalam bidang pendidikan. Walau bagaimanapun SBP / MRSM yang ada tidak dapat menampung bilangan murid cemerlang UPSR / PMR yang meningkat setiap tahun. Jabatan Pelajaran Negeri Negeri Sembilan telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Sekolah Rancangan Khas dan Kelas Rancangan Khas. Program Kelas Rancangan Khas ini telah berjaya meningkatkan peluang murid cemerlang luar bandar untuk ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih bagi meningkatkan lagi kegemilangan mereka.

Berdasarkan syarat yang ditetapkan, mereka diagihkan sama ada ke Kelas Rancangan Khas Negeri atau Kelas Rancangan Khas Daerah. Sekolah-sekolah pilihan ini menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang kondusif. Kemudahan seperti asrama, biasiswa, buku teks, komputer, guru berpengalaman dan program khas yang dirancang dapat melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah, kokurikulum dan seterusnya menjadi pemimpin yang gemilang bertaraf dunia.


MATLAMAT

Program Kelas Rancangan Khas dilaksanakan adalah dengan matlamat melahirkan murid

yang cemerlang dalam akademik,sahsiah yang berkualiti setandingan dengan Sekolah

Berasrama Penuh atau MRSM.

0 ulasan:

HAK CIPTA CIKGU ZARIMAH OTHMAN